Thursday, June 9, 2011

OH MELAYU: ISU BUANG BAYI

SEKADAR RENUNGAN





Oh Melayu
Mengapa kau buang anak kecil yang tidak berdosa itu
Tidakkah kau mengerti tangisan si kecil itu sewaktu kau mencampakkannya
Tangisan yang meminta belas ihsan daripada insan yang bernama ibu dan ayah

Oh Melayu
Mengapa kau buang anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu
Anak kecil yang lahir atas ketelanjuran ibu dan ayahnya
Tidakkah wujud kasih sayang setelah kau mengandung dan melahirkannya
Sedarlah bangsaku
Sedangkan haiwan sayang dan kasih kepada anaknya
Inikan pula kita sebagai manusia

Oh Melayu
Mengapa kau buang anak kecil yang baru hendak mengenal dunia itu
Tidakkah kau takut pada kemurkaan Sang Pencipta
Tidakkah kau malu kepadaNya
Atau kau hanya takut dan malu kepada manusia yang dicipta olehNya

Oh Melayu
Mengapa kau buang anak kecil yang tidak bersalah itu
Tahukah engkau tentang syurga dan neraka
Tahukah engkau tentang dosa dan pahala
Tahukah engkau tentang seksa Alam Barzakh
Jadi tidakkah engkau takut dengan pembalasan sewaktu di sana
Atau kau hanya takut dengan pembalasan dan kutukan di dunia

Oh Melayu
Mengapa kau buang anak kecil yang mahukan kasih sayang daripada ibu dan ayahnya itu
Tidakkah engkau tahu tentang hukum agama
Jadi ke mana hilangnya kesucian agama mu itu
Ke mana hilangnya kesopanan dan kehalusan budi pekerti bangsamu itu
Bangsa yang pernah dihormati dan disegani suatu ketika dahulu

Oh Melayu
Mengapa kau buang anak kecil itu
Tidakkah kau sayang dan kasihan melihatnya
Bagaimana jika kau berada di tempatnya
Dibuang dan dicampak ke tempat yang hina
Apakah yang kau rasa
Jadi anggaplah kelahiran anak kecil itu sebagai satu hikmah atau pengajaran daripadaNya

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa sebahagian besar kes pembuangan bayi di Malaysia adalah melibatkan golongan remaja yang berbangsa Melayu. Sedarlah anak bangsaku bahawa kita sedang berada di penghujung dunia. Pesanan ini bukan untuk menghina tetapi untuk mengingati di antara kita. Sekian.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...