Friday, June 8, 2012

GERAKAN TENTERA SELENDANG MERAH




GERAKAN TENTERA SELENDANG MERAH???

Mungkin bukan pertama kali blog ini memaparkan entry tentang Tentera Selendang Merah ini. Sebelum ini penulis pernah memaparkan secara sepintas lalu tentang gerakan ini di dalam entry yang berkaitan peristiwa 13 Mei 1969. Mungkin nama gerakan ini tidak asing bagi golongan-golongan yang hidup era 1960-an tetapi mungkin jarang diketahui oleh anak-anak muda pada masa kini. Kehebatan tentera-tentera selendang Merah sewaktu peristiwa 13 Mei sukar untuk diterima akal oleh masyarakat pada zaman teknologi ini. Justeru, entry ini akan berkongsi dengan kalian tentang gerakan ini supaya ianya sentiasa segar di ingatan anak-anak muda kini.

Gerakan Selendang Merah umumnya telah ditubuhkan sejak tamatnya Perang Dunia Kedua (1945) iaitu selepas Jepun menyerah kalah dan mengundurkan tenteranya di Tanah Melayu. Pengunduran tentera Jepun telah mengakibatkan Tanah Melayu mengalami kekosongan kuasa di mana tidak ditadbir oleh mana-mana pihak dalam tempoh masa hampir 3 minggu. Kekosongan kuasa tersebut telah dimanfaatkan oleh MPAJA dan PKM untuk bermaharajalela di Tanah Melayu. MPAJA dan PKM yang majoritinya dianggotai oleh kaum Cina telah keluar daripada hutan untuk membalas dendam ekoran daripada penindasan yang dialami semasa zaman pentadbiran Jepun. Tempoh penguasaan komunis telah menyaksikan MPAJA dan PKM melaksanakan hukuman ke atas penduduk tempatan yang bersekongkol dengan pihak Jepun sebelum ini. Banyak rakyat-rakyat menjadi korban kekejaman komunis yang melaksanakan proses pengadilan melalui "Mahkamah Rakyat" yang menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan yang adil. Bukan itu sahaja, pengadilan yang dilakukan oleh pihak komunis juga dilihat agak berat sebelah apabila lebih menindas orang Melayu dan cenderung untuk membela kaum Cina. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga kaum Cina yang ditindas dan dibunuh oleh komunis. 

Kekejaman yang dilakukan oleh pihak komunis ke atas orang Melayu di Semenanjung telah menimbulkan perasaan tidak puas hati. Keadaan yang sama turut berlaku di negeri Johor khususnya di daerah Muar dan Batu Pahat. Dua daerah utama yang majoritinya didiami oleh orang Melayu telah menjadi salah satu tempat utama pihak komunis melaksanakan dasarnya yang anti-Melayu. Buktinya, pihak komunis telah menjadikan Bakeri Batu Enam Bukit Mor, Muar sebagai markas utamanya. Markas ini dikenali sebagai "lubuk hitam" yang paling bahaya kerana disinilah tempat pihak komunis melaksanakan hukuman tidak kira dalam bentuk penyeksaan mahupun pembunuhan. Bukan itu sahaja, anggota-anggota komunis yang terdiri daripada kaum Cina telah menawan beberapa Balai Polis seperti di Parit Jawa, Batu pahat dan Bandar Maharani, Muar.

Pentadbiran kuku besi oleh komunis pada awalnya tidak mendapat tentangan secara terbuka dari orang Melayu yang sedang berpuasa di bulan ramadhan (1365). Sikap orang Melayu yang tidak menentang telah menyebabkan anggota komunis semakin berani untuk menindas kaum tersebut. Hal ini jelas dilihat apabila anggota-anggota komunis bukan sahaja menganiaya golongan yang tidak bersalah tetapi telah mencabul kehormatan agama yang dianuti oleh kaum Melayu iaitu ISLAM. Buktinya, komunis telah melarang orang-orang Melayu di Muar dan Batu Pahat untuk berkumpul di surau atau masjid bagi menunaikan sembahyang terawikh dan amal ibadat secara berjemaah. Malahan, pihak komunis turut menjadikan tempat beribadat orang Islam seperti masjid di Air Hitam Muar sebagai tempat penyembelihan babi sehingga menyebabkan masyarakat setempat terganggu untuk menunaikan ibadat di masjid tersebut. Tindakan yang dilakukan oleh anggota-anggota PKM telah menyebabkan kaum Melayu hilang pertimbangan dan kesabaran.


KIYAI SALLEH (TENGAH)

Rentetan daripada itu, kaum Melayu yang beragama Islam di Muar dan Batu pahat telah bangkit menubuhkan satu angkatan tentera bagi menentang keganasan komunis yang mencabul kehormatan agama ISLAM. Angkatan tentera ini telah dipelopori oleh seorang mualim yang tinggal di Parit Maimon, Simpang Kiri, Batu Pahat yang dikenali sebagai Haji Salleh Bin Abdul Karim atau lebih dikenali dengan gelaran Kiyai Salleh. Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, pembentukan angkatan tentera ini sebenarnya adalah ekoran daripada "seruan" yang diterima oleh Kiyai Salleh sewaktu memimpin satu upacara membaca doa dan bersembahyang di surau kampungnya bertujuan memohon kepada ALLAH S.W.T agar malapetaka yang sedang dihadapi pada waktu itu tidak merebak ke kawasan-kawasan lain. Seruan ini telah didengari oleh Kiyai Salleh sewaktu khusyuk berdoa dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Seruan tersebut berbunyi demikian:

"Kalau kamu tentang pencabulan ini.
Tuhan akan berserta kamu, 
Gunakanlah sebarang senjata yang ada pada kamu,
Kalau kamu tidak menentangnya,
Harus kamu habis ditindasnya,
Bangunlah menentang di atas daya kamu,
dan gunakanlah ayat-ayat Al-Quran tertentu,
sebagaimana yang digunakan oleh Rasulullah melawan kafir dahulu,
dan ayat-ayat yang digunakan dalam Perang Sabil zaman khalifah Islam dahulu."

OBJEKTIF PENUBUHAN ANGKATAN TENTERA SELENDANG MERAH???

1) Mempertahankan kehormatan agama ISLAM dan tempat-tempat ibadah yang telah dinodai oleh komunis
2) Menentang dan memusnahkan segala kezaliman yang dilakukan oleh tentera Bintang Tiga (komunis)
3) Mengawal maruah bangsa, hak dan harta orang-orang Islam

ORGANISASI TENTERA SELENDANG MERAH

Kiyai Salleh telah membentuk beberapa pasukan untuk mengawal kawasan-kawasan tertentu. Pembahagian kawasan tersebut tidak hanya tertakluk di daerah Muar dan Batu Pahat sahaja tetapi meliputi seluruh negeri Johor. Organisasi tersebut dipimpin oleh pembantu-pembantu beliau seperti berikut:

Pesuruhjaya Am:
 Kiyai Wak Joyo

Kawasan Johor Selatan: 
Ketua I (Kiyai Musin)
Ketua II (Kiyai Mashhudi)
Ketua III (Kiyai Mayor/ Moh)

Kawasan Johor Timur:
Ketua I: (Kiyai Saudi)
Ketua II: (Kiyai Maskam)
Ketua III: (Kiyai Sarbini)

Kawasan Johor Utara
Ketua I: (Kiyai Mustahir)
Ketua II: (Kiyai Haji Shamsuddin)
Ketua III: (Kiyai Haji Sukor)

Semua ketua yang dilantik diberi gelaran Kiyai dan mendapat kepercayaan penuh dari Panglima tentera Kiyai Salleh untuk memimpin pasukan masing-masing. Walau bagaimanapun, pembentukan pasukan tentera ini adalah merupakan sesuatu yang agak menakjubkan apabila ianya tidak mampu membekalkan senjata api kepada tentera-tenteranya. Sesuai dengan pepatah Melayu yang berbunyi "tiada rotan akar pun berguna" telah menyaksikan kaum Melayu yang menganggotai Tentera Selendang Merah menentang komunis dengan senjata-senjata seperti parang panjang, senapang patah, lembing, pedang, keris, tombak dan sundang. Namun demikian, 80% anggota daripada Tentera Selendang Merah telah menggunakan parang panjang sebagai senjata utama sehingga zaman tersebut dikenali sebagai "zaman perang parang panjang". Selain itu, terdapat juga sesetengah pihak yang mendakwa senjata-senjata tersebut mempunyai unsur-unsur hikmat. Sebagai contoh, Kiyai Salleh yang merupakan Panglima Tentera Selendang Merah telah menggunakan pedang yang dihadiahkan oleh ibunya iaitu sebilah pedang yang boleh dilipat dan dililit seperti tali pinggang. Malahan Kiyai Saudi turut menggunakan tongkat yang diperolehi dari perdu kayu kelo dari Tanah Jawa yang didakwa boleh menjadikan beliau kebal dan tidak boleh ditembusi oleh sebarang senjata.

Adalah mustahil bagi sebuah pasukan tentera yang tidak dilengkapi senjata canggih untuk menentang anggota komunis yang mempunyai teknologi persenjataan yang boleh dikatakan agak canggih pada waktu itu. Justeru, angkatan tentara Selendang Merah ini telah dilengkapi dengan unsur spiritual yang kuat bagi meningkatkan semangat juang masing-masing. Oleh itu, kebanyakan anggota-anggota tentera tersebut telah dilengkap dengan "selendang merah" yang bertulis dengan ayat-ayat suci al-Quran. Selain itu, setiap tentera-tentera Selendang Merah turut diberikan beberapa zikir dan ayat al-Quran untuk diamalkan di samping turut dilengkapkan dengan petua perjuangan bagi menghadapi musuh.

Wallahu'alam. Sekian.
   

2 comments:

  1. Zaman sekarang perlu dihidupkan kembali ilmu ini kepada anak bangsa Melayu

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...