Monday, June 25, 2012

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN ORANG MELAYU (MERASI)



MERASI??? Pernah dengar perkataan ini??? Mungkin generasi muda zaman sekarang tidak pernah mendengar perkataan ini. Merasi secara umumnya adalah salah satu cabang menilik nasib yang digunakan oleh orang MELAYU dahulukala dan mungkin masih ada yang mengamalkannya sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang MELAYU sudah hampir melupakan adat ini. Keadaan ini bukanlah disebabkan kerana ianya ditegah oleh Islam ataupun akibat tentangan atau protes yang lahir dari golongan alim ulama, sebaliknya ianya dilupakan disebabkan orang MELAYU itu sendiri yag tidak memerlukannya. Adat MERASI ini biasanya dilakukan untuk bakal pasangan yang belum saling mengenal dan sukar untuk mengenal hati kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, dalam keadaan masyarakat sekarang yang boleh dikatakan agak bebas, seseorang itu boleh mengetahui perwatakan pasangan masing-masing melalui pertemuan-pertemuan secara langsung dan tidak langsung. Keadaan ini secara tidak langsung membantu pasangan untuk mengetahui tentang keserasian di antara satu sama lain. Justeru, keperluan untuk MERASI tidak timbul pada masyarakat zaman sekarang.

Perlakuan adat MERASI ini secara umumnya boleh dikatakan tidak bertalian dengan darjat  atau martabat seseorang atau satu-satu keluarga. Adakalanya orang kaya, golongan bangsawan dan ternama masih mengamalkannya sedangkan golongan biasa terus mengabaikannya. Keadaan ini terjadi mungkin kerana orang yang mengamalkannya hidup dalam satu kelompok manusia yang eksklusif, yang dilingkungi oleh adat istiadat kelompoknya sendiri dan adat tersebut dijaga dengan kukuh agar tidak lapuk ditelan zaman. Kebiasaannya golongan seperti ini mempunyai bomoh, pawang atau dukun yang menjalankan adat MERASI serta adat istiadat lain. 


Umumnya, terlalu banyak cara-cara untuk MERASI. Ada yang mudah dan ada yang sukar dan disokong dengan petua-petua tertentu. Antara contoh teknik MERASI ialah dengan menghitung nilai nama pasangan yang hendak dijodohkan. Umumnya, hitungan tersebut dilakukan berdasarkan ejaan huruf-huruf Arab di mana setiap huruf itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Di bawah diperturunkan nilai tersebut:



(Panduan: Lihat ejaan huruf Arab di atas)



Ambil satu contoh. Misalnya SALIM dengan FATIMAH, beri nilai bagi setiap huruf:

SALIM: SIIN (60), ALIF (1), LAAM (30), YAA (10), MIIM (40) = 141
FATIMAH: FAA (80), ALIF (1), TAA (HURUF 16) (9), MIIM (40), HAA (8) = 138

Jumlah dari tiap huruf tadi dicampurkan (141+138=279). Seterusnya angka ini ditolak dengan angka 9 dan bakinya ditolak lagi dengan dengan 9. Begitulah seterusnya sehingga tinggal satu angka sahaja (dari 1-9). Baki angka terakhir inilah yang dijadikan penentu untuk mendapat kepastian tentang rasi pasangan tadi. 

Rumusan ramalan angka-angka tersebut adalah seperti berikut:

1-Jodoh tidak sesuai
2-Sesuai
3-Permulaan jodoh tidak menggalakkan dan akhirnya akan menjadi lebih buruk tetapi kadangkala ada juga persesuaian.
4-Pertemuan jodoh pasangan baik, jalinan kasih sayang semakin lama semakin erat
5-Jodoh baik, rumah tangga aman dan makmur
6-Pertemuan jodoh baik pada permulaannya tetapi akhirnya sering terjadi selisih faham
7-Jodoh baik, keadaaan rumah tangga aman dan mulia dipandang orang
8-Pertemuan jodoh tidak baik yang mungkin berakhir dengan penceraian
9-Pertemuan jodoh yang sederhana rasinya, selalu pindah rumah

Kaedah lain ialah dengan menjumlahkan nilai nama tiap seorang secara berasingan tetapi tidak dijumlahkan kedua-duanya seperti di atas tadi. Contoh SALIM=141 & FATIMAH 138. Nama kedua-dua ini ditolak secara berasingan. Contoh: angka 141 ditolak dengan angka 9 sehingga mendapat satu angka sahaja (1-9) iaitu baki terakhir angka bagi setiap nama pasangan. Dari angka inilah ramalan dilakukan, iaitu dengan mempertemukan angka lelaki dan perempuan. Rumusan ramalan ini adalah seperti berikut:

1-1=Jodoh pertemuan diramalkan baik dan hidup pasangan itu bahagia
1-2=Jodoh pertemuan diramalkan serasi, mendapat rezeki halal, mendapat anak baik dan ada persefahaman antara suami isteri
1-3=Jodoh tidak serasi dan sering berselisih faham
1-4=Ada persefahaman antara pasangan tetapi akhirnya akan bercerai, tetapi jika mempunyai anak maka jodoh akan kekal
1-5=Tidak serasi dan akhirnya akan bercerai
1-6= Serasi dan bahagia hidup mereka
1-7=Pasangan ini tidak serasi, sentiasa bersengketa dan saling mencari kesalahan pihak lain
1-8=Hidup mereka sering muram dan dalam keadaan miskin. Anak adalah faktor berkekalannya jodoh mereka
1-9=Jodoh mereka kekal tetapi hidup mereka sering huru-hara

2-2=Jodoh kekal, sayangnya tidak ada kasih sayang. Hati pasangan ini tidak sehaluan
2-3=Tidak ada persefahaman dan berakhir dengan penceraian
2-4=Jodoh ini tidak kekal
2-5=Jodoh ini kekal tetapi hidup mereka dalam keadaan miskin
2-6=Jodoh ini hidup dalam keadaan miskin, jika beranak, anak menjadi punca masalah
2-7=Saling faham memahami
2-8=Tidak persefahaman. Si perempuan keras hatinya
2-9=Jodoh ini saling bersefahaman murah rezeki dan mendapat kurnia nikmat Allah S.W.T

3-4=Jodoh ini akan berakhir dengan penceraian
3-5=Jodoh ini ada persesuaiannya. Sayangnya mereka akan berakhir dengan penceraian
3-6=Jodoh ini sesuai dan kekal
3-7=Sesuai dan berkekalan
3-8=Sesuai dan berkekalan
3-9=Kurang sesuai, selalu berselisih faham tetapi bila terjadi perselisihan salah satu pihak akan mengalah

4-4=Tidak sesuai dan mungkin berakhir dengan penceraian
4-5=Ada persefahaman di antara pasangan tetapi mungkin akan berakhir dengan penceraian
4-6=Hidup pasangan ini dalam kesukaran dan tidak bersefahaman. Rumah tangga sering menjadi punca masalah
4-7=Tiada persefahaman antara pasangan ini
4-8=Saling bersefahaman. Rumahtangga aman
4-9=Tidak serasi

5-5=Tidak bersesuaian, sering berselisih faham dan akan berakhir dengan penceraian
5-6=Saling bersefahaman. Rumahtangga aman
5-7=Saling bersefahaman tetapi kadang-kadang timbul masalah
5-8=Hidup pasangan ini saling bersefahaman dan bahagia tetapi akhirnya mereka menghadapi masalah
5-9=Tiap pihak dari pasangan ini mempunyai sifat-sifat kebaikan dan kejahatan

6-6=Jodoh ini serasi, berkekalan dan murah rezeki. Mereka berdua baik hati
6-7=Jodoh ini tidak sehaluan hati tetapi kekal
6-8=Jodoh ini serasi, saling bersefahaman dan berkasih sayang
6-9=Jodoh ini serasi, kekal tetapi kadang-kadang menghadapi masalah dan pertelingkahan

7-7=Tidak sesuai dan sering bersengketa
7-8=Tidak sesuai dan mungkin berakhir dengan penceraian
7-9=Pertemuan antara jodoh ini akan membawa kebaikan, tetapi sifat kebaikan dan keburukan wujud pada kedua-dua pihak

8-8=Jodoh ini sesuai, mendapat rezeki dan nikmat Allah S.W.T
8-9=Jodoh ini saling bersefahaman, berkasih sayang dan bahagia

9-9=Jodoh dari pasangan ini kuat dan kekal biarpun terdapat sedikit persengketaan dalam masa-masa tertentu

Cubalah kalian cuba melihat jodoh masing-masing sama ada serasi atau tidak. Walau bagaimanapun, janganlah kalian percaya dengan sepenuhnya kerana jodoh itu rahsia ALLAH S.W.T. Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mampu menentukan jodoh sesebuah hubungan kita sebagai manusia hanya mampu berusaha. SEKIAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...