.
Keris adalah senjata orang MELAYU yang telah digunakan sejak ratusan tahun dahulu. Keris bukan sahaja berfungsi sebagai senjata malah turut melambangkan identiti MELAYU itu sendiri. Bentuknya yang berluk-luk dan permukaan yang tidak rata menunjukkan bahawa ianya berbeza daripada senjata-senjata yang lain. Walaupun direka dalam saiz yang tidak terlalu panjang dan agak pendek, namun keris mampu menjadi salah satu senjata yang amat berbahaya suatu ketika dahulu. Racun yang terkandung pada mata keris mampu melumpuhkan dan membunuh musuh dengan hanya sedikit torehan sahaja. Begitulah bahayanya keris. Oleh itu tidak mustahil ianya dijadikan pakaian oleh masyarakat MELAYU zaman dahulukala. Ke mana sahaja mereka pergi sudah tentu ada keris tersisip dipinggangnya. Malahan keris juga turut dijadikan perlambangan bagi diri si pemakainya. Contoh ini jelas dilihat berdasarkan peristiwa kegagalan Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang lantas beliau telah menyerahkan keris Taming Sari beliau kepada Tun Mamat untuk dibawa menghadap Sultan Mahmud Syah (KOSMO 5 JUN 2011). Di samping itu, keris juga melambangkan keperibadian dan simbol kuasa kepada pemakainya. Atas sebab inilah keris begitu dimuliakan oleh orang MELAYU sejak dahulu sehingga ke hari ini. Jadi, pemilihan keris yang baik bagi masyarakat MELAYU dahulukala begitu penting sehinggakan wujud anggapan-anggapan bahawa keris tersebut membawa tuah ataupun tidak.
KERIS MEMBAWA TUAH ATAU BALA KEPADA SI PEMAKAINYA???
Sememangnya banyak cara dan petua yang digunakan oleh masyarakat MELAYU dahulukala bagi mengetahui sama ada keris tersebut membawa tuah kepada si pemakainya ataupun tidak. Antara cara yang biasa digunakan ialah dengan mengukur atau menyukat mata keris. Dalam menyukat mata keris, terdapat dua cara yang utama iaitu dengan menggunakan ibu jari dan menggunakan daun seperti daun pandan. daun kelapa ataupun daun palas. Walau bagaimanapun, pada entry kali ini, aku hanya akan berkongsikan dengan kalian tentang cara mengukur keris dengan menggunakan ibu jari sahaja. Sebelum aku mengupas dengan lebih lanjut, ingin aku ingatkan bahawa ianya bukan untuk memesongkan akidah kalian dengan perkara-perkara yang dianggap khurafat. AMARAN!!! Entry kali ini adalah untuk berkongsi dengan kalian tentang pusaka nenek moyang kita agar ianya tidak luput ditelan zaman.
TEKNIK PERTAMA
- Pegang mata keris dengan bahagian hulunya menghadap ke arah perut.
- Letakkan ibu jari kiri melintang pada pangkal mata keris.
- Kemudian susun ibu jari kanan di sebelah ibu jari kiri dan pindahkan ibu jari kiri ke sebelah ibu jari kanan.
- Lakukan langkah tersebut sehingga sampai ke penghujung keris.
- Sekarang cara menentukan sama ada keris tersebut bertuah atau sebaliknya.
- Apabila di dapati sukatan akhir berakhir pada ibu jari kiri dan tangan kanan bebas daripada mata keris maka keris itu dianggap bertuah kepada tuannya.
- Tetapi apabila sukatan akhir berakhir pada ibu jari kanan pula dan tangan kiri bebas daripada mata keris maka keris tersebut dikatakan membawa sial atau dalam erti kata yang lain akan membawa bahaya kepada tuannya atau nyawa tuannya akan berakhir dimata keris tersebut.
- Walau bagaimanapun, teknik yang diterangkan tadi adalah bagi mereka yang menggunakan tangan kanan sepenuhnya.
- Bagi yang kidal atau biasa menggunakan tangan kiri maka sukatannya haruslah bermula dengan ibu jari kanan.
TEKNIK KEDUA
- Pegang keris sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
- Letakkan ibu jari kanan secara melintang pada mata keris.
- Kemudian susun ibu jari kiri disebelah ibu jari kanan secara berganti-ganti sehingga sampai ke penghujungnya.
- Sekiranya sukatan terakhir dihujung mata keris kurang daripada sukatan ibu jari, maka ianya dikira sebagai satu sukatan yang penuh.
- Ketika menyusun jari sewaktu menyukat dengan menggunakan teknik ini maka si penyukat haruslah menyebut perkataan-perkataan in mengikut turutan: 1) RAJA 2) PAHLAWAN 3) PEREMPUAN 4) BUDAK ORANG (HAMBA)
- Apabila sukatan akhir jatuh pada perkataan RAJA maka keris tersebut dianggap bertuah dan si pemiliknya akan menjadi terkenal dan berkuasa.
- PAHLAWAN: Si pemilik keris kemungkinan akan menjadi seorang pembesar dan berpengaruh di kalangan masyarakat atau menjadi pahlawan yang terbilang.
- PEREMPUAN: Bermakna keris tersebut akan membawa alamat baik di dalam perniagaan.
- BUDAK ORANG: Keris tersebut tidak baik disimpan kerana ianya dianggap membawa bencana atau kecelakaan kepada tuannya.
TEKNIK KETIGA
- Ulangi langkah di atas iaitu dengan menyusun ibu jari secara berganti-ganti sehingga sampai ke penghujungnya.
- Sewaktu ibu jari disusun maka sebutkan perkataan berikut dengan mengikut turutan: 1) ULAR BERANG 2) MENITI RIAK 3) RIAK DI TITI GELOMBANG TUJUH 4) KARAM DI LAUT 5) TIMBUL DI DARAT 6) HABIS HUTANG 7) BERGANTI HUTANG 8) HUTANG LAMA TIDAK BERBAYAR
- Perhatikan perkataan mana yang berhenti di hujung keris. Sekiranya sukatan akhir kurang daripada sukatan lebar jari maka ianya dikira sebagai satu sukatan penuh.
- ULAR BERANG/ MENITI RIAK/ HABIS HUTANG/ TIMBUL DI DARAT: Keris tersebut membawa alamat yang baik.
- RIAK DI TITI GELOMBANG TUJUH: Keris tersebut dianggap membawa alamat yang sangat baik dan dianggap bertuah.
- BERGANTI HUTANG: Keris tersebut dianggap sebagai membawa nasib yang tidak baik kepada tuannya.
- KARAM DI LAUT/ HUTANG LAMA TIDAK BERBAYAR: Keris tersebut dikatakan membawa erti yang sangat buruk kepada tuannya. Keris seperti ini biasanya tidak akan di simpan.
Begitulah caranya masyarakat MELAYU dahulukala menyukat keris bagi memilih keris yang baik. Sebaiknya rujuklah kepada orang-orang tua untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang petua menyukat keris ini. Wallahu'alam.
Cara mengira luk bila hitung dgn nama ?
ReplyDelete