Sunday, April 15, 2012

SIMBOLIKNYA BUNGA DALAM SILAT MELAYU



.

Silat adalah merupakan salah satu seni bela diri orang Melayu yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu. Secara umumnya silat terbahagi kepada dua pergerakan iaitu bunga dan buah. Walau bagaimanapun, entry kali ini akan mengupas secara ringkas berkenaan simboliknya bunga silat yang terdapat di dalam Seni Silat Melayu. Bunga Silat secara kasarnya ialah pergerakan yang seakan-akan tarian yang dikenali juga sebagai seni atau tari. Tetapi tahukah anda bahawa bunga silat sebenarnya mempunyai maksud dan pengertian yang tersirat disebaliknya. Hanya orang Melayu dan Pesilat yang mendalami ilmu persilatan sahaja yang tahu akan kepentingan bunga silat ini.

Dengan bunga atau tari yang lembut disusuli dengan langkah dan susunan kekuda yang kukuh sudah tentu akan menarik hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Namun, tidak dinafikan bahawa ada segelintir pemuda zaman sekarang yang memandang remeh tentang seni silat ini. Bagi mereka, silat sudah tidak relevan ekoran daripada perwatakannya yang nampak lembut. Golongan muda lebih tertarik dengan seni bela diri dari luar yang nampak keras dan ganas seperti Muay Thai. Tetapi tak kenal maka tak cinta bukan? Silat itu salah satu daripada lambang ketamadunan bangsa Melayu. Bunganya yang lembut melambangkan keperibadian orang Melayu itu sendiri yang lemah lembut dan bersopan santun. Daripada bunganya juga turut membezakan ia daripada seni bela diri lain yang terdapat dalam dunia ini. Memang sifatnya nampak lembut berdasarkan gerak tarinya, namun harus diingat bahawa dalam lembut sudah tentu ada kerasnya. Begitulah sifat orang Melayu, lemah lembut dan bersopan santun tetapi apabila maruah tercalar maka amuklah jawabnya.

Apa simboliknya bunga silat sehingga ianya menjadi kewajiban dalam sebilangan besar perguruan. Bagi sesetengah orang, buat apa nak berbunga-bunga bagai, sekali kena tumbuk terus diam. Baik kita buang tanggapan kolot seperti itu. Untuk apa pahlawan-pahlawan Melayu dahulukala memasukkan bunga silat di dalam seni bela diri mereka jika ianya tidak berguna. Bunga silat secara umumnya berfungsi sebagai lambang pengenalan atau identiti sesuatu perguruan. Perbezaan bunga dalam setiap perguruan silat membolehkan pesilat mengetahui dan membezakan jenis-jenis perguruan yang dipelajari oleh musuhnya. Hal ini amat penting dalam situasi seperti pergaduhan di mana seseoarang pesilat boleh mengenali rakan-rakan sealiran atau seperguruan dengannya sekaligus dapat meredakan pertelingkahan.

Selain itu, bunga silat juga turut digunakan sebagai salah satu helah untuk mengelirukan lawan. Sesuai dengan ertinya yang bermaksud silap, silau, elat dan sebagainya, silat telah menggunakan unsur tarian tersebut sebagai salah satu tipu helah untuk mengelirukan lawan. Hal ini jelas dilihat apabila terdapat pesilat sengaja membuka kelemahan pada anggota badannya untuk diserang musuh seterusnya menggunakan helah tersebut untuk memerangkap dan menjerat lawannya. Jadi, jangan pandang remeh pada gelek tari dalam bunga Silat Melayu!!! Di samping mempunyai seribu muslihat dan helah, bunga silat juga turut memberi peluang kepada pesilat untuk melihat sebarang kelemahan yang didedahkan oleh lawannya. Oleh itu, para pesilat mampu berfikir secara rasional sebelum melakukan sebarang tindakan untuk menyerang musuh. Dalam pada masa yang sama, bunga silat juga turut melatih para pesilat agar bersikap sabar dan tidak membabi buta dalam membuat sebarang tindakan. Tambahan lagi, dalam situasi pertempuran, bunga silat bukan sahaja memberi peluang kepada pesilat untuk menenangkan kembali diri mereka malahan turut memberi peluang kepada pesilat untuk mengatur kembali pernafasan mereka.

Bukan itu sahaja, bunga silat juga turut melatih para pesilat untuk melembutkan pergerakan mereka seterusnya memudahkan buah pukulan dan kuncian disampaikan. Hah nampak tak betapa tertibnya Silat Melayu. Dari bunga barulah datang buahnya. Selain daripada itu, terdapat juga bunga silat yang memberi amaran kepada lawannya mengenai anggota badan yang akan digunakan untuk membinasakan lawannya. Sebab itu, ada sesetengah perguruan yang menepuk tangan, siku, lutut dan kaki sewaktu memainkan bunganya.

Sekian~

Jika makan buah berangan,
Enak dimakan di tepi sawah,
Jika ada kesilapan mahupun kekurangan,
Sila tambah pada komen di bawah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...